Quran Guidance of the Day

Saturday, March 7, 2009

Kenape you tak ROGOL I??


Kisah Benar... Hampir Dirogol!!
Message: Kisah benar dari US . Banyak kisah-kisahaneh yang menakjubkan sebegini telah berlaku. Moga kita boleh ambil iktibar.

Seorang wanita muslim dari Malaysia yang bekerja di US, memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus. Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik kerumah dari tempat kerjanya. Kebetulandia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yanglalu lalang pada masa itu. Maklum
hari sudah lewat malam. Berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu
membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut berjalan berseorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar
di dinding di tepi lorong itu. Dia mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa
yang saudari kita ni boleh buat adalah berdoa ke hadrat Allah memohon
keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia disaat itu.Masa dia melepasi lelaki yang bersandar itu, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, saudari ini terbaca dalam akhbar yang seorang
perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong
tersebut.Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu. Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan Muslim ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia
mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa
tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Muslimah ini
nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap
dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu "Why don't you do anything to me on that night even though you know that I'm alone?" Perogol tu jawab: "No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim."

Saudari ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia
bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

MORAL CERITA INI:

Jika kita sebagai hambaNya menurut segala perintah dan meninggalkan
segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan memelihara kita. Muslimah tadi pertama-tamanya menutup aurat dan memang Muslimah yang menjaga batas-batas yang ditetapkan Islam.(Kalau aurat terbuka malaikat pun malas dekat).Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hambaNya yang sentiasa ingat akan diriNya.

Ayat Kursi sememangnya adalah ayat pelindung yang mustajab... selalulah amalkannya. Bayangkan anda seorang yang selalu ingkar suruhan Allah, kufur dengan nikmatnya, sambil lewa beribadat.Dapatkah
anda mendapat pertolongan sebegini dari Allah? Balasan Allah tu boleh
datang semasa di dunia lagi. Di akhirat kelak memang pasti kerana itu janji Allah. Jadi, renungkanlah di mana level 'iman' kita sekarang ini. Wassalam.

Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat
tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya [Dari Abdullah bin 'Amr r.a.]

Sebuah kisah benar yang sangat sangat menarik pada pandangan saya.semoga anda semua mendapat pengajaran dan ilmu yang
bermanfat. Sebagai hamba kita seharusnyapercaya dengan kemampuan senjata orang mukmin iaitu DOA....semoga kita sentiasa dipelihara Allah dari kejahatan syaitan yang di rejam.....

Wednesday, January 14, 2009

Selamtkanlh Bumi Gaza Dari Rejim Israel

Hari ini, sudah lebih setengah bulan saudara-saudara kita di Palestin dibedil dan dianiaya seteruk-teruknya. Sikap pemimpin dan tentera Zionis yang sungguh bongkak dan menjengkelkan meyebabkan penduduk dunia menjadi kian marah, kian menyampah. Sungguh, mereka ini manusia tidak sedar diri. Manusia yang tidak kenal dek untung. Manusia "selfish" yang hanya Allah lah selayaknya menjadi penghukum mereka.

Benar, tiada sistem keadilan di dunia yang mampu menghukum iblis-iblis sombong dan pengecut ini. Biar neraka Allah yang menghitung setiap zarah kezaliman mereka yang menyakiti saudara-saudara saya setiap saat sedari tahun 1948 lagi.

Ingin saya kongsikan fakta yg disampaikan oleh Professor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang menganggotai Palestine Center of Excellence (PACE).

Fakta 1: Gaza sudah berada dalam serangan dan sekatan Israel semenjak 18 bulan yang lepas.

Fakta 2: Tiada makanan, ubat-ubatan dan bermacam keperluan lain yang dibenarkan masuk ke Gaza. Penduduk-penduduk Gaza kini kelaparan dan hak-hak kemanusiaan mereka sering dinafikan.

Fakta 3: Kerajaan Hamas bersetuju untuk patuh kepada gencatan senjata selama 6 bulan dengan Israel yang berakhir pada 19 Disember lepas.

Fakta 4: Gencatan senjata tersebut telah dibatalkan Israel dengan alasan pejuang Hamas telah menembak roket buatan mereka ke dalam Israel. Inilah hasil penipuan yang dibuat oleh Israel melalui kuasa media yang berada di tangan mereka.

Fakta 5: Kebenarannya, pejuang Hamas menembak roket sebagai balasan kepada beberapa pencerobohan yang dilakukan oleh tentera penakluk Israel (IOF) ke dalam wilayah Gaza yang telah menyebabkan kematian beberapa pegawai keselamatan Palestin dan anak-anak kecil.

Fakta 6: Kenyataan Israel yang mengatakan serangan mereka berbentuk pertahanan adalah penipuan semata-mata. Israel telah merancang serangan ini semenjak bulan June 2008. Mereka dengan liciknya mengembil kesempatan pada waktu-waktu tenang gencatan senjata untuk merancang serangan ini.

Wallahua'lam. Sememangnya kita mengharapkan Allah akan membantu mereka. Namun, melalui siapa? Adakah kita bakal menjadi sebahagian daripada sistem pertolongan yang akan diturunkan Allah itu?


P/S:"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." 61:14

Dan milik Allah bala tentera langit dan bumi. Dan Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana
[Al-Fath (48): 7

YALLah selamtknlh bumi gaza dri REjim zionis Yg zalim lg kejam itu..Ameen

Tuesday, January 13, 2009

Minda Seorang Insan


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah Maha Penyayang,

Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan kejahatan mereka,
Ya Allah, Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Dan pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,
Dan goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah anjing-anjing Kamu kepada mereka,
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa,
Wahai Tuhan Yang Maha Menghukum,
Wahai Tuhan Yang bersifat Murka,

Ya Allah,
Ya Allah,
Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab, Kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.
Ameen

Begitulah terjemahan ringkas qunut nazilah yang boleh dihafal setaraf do'a qunut. Tampak nadanya keras, namun jika dibaca dengan sepenuh penghayatan, sepenuh pengharapan, dan sepenuh kefahaman, maka terasa indahnya bait-bait kalimah yang dipohon.

Coretan kali ini bukanlah berniat untuk menambah banyak coretan tentang kekejaman dan kezaliman pihak zionis Israel menghentam umat islam di Palestin pada masa ini. Cukuplah dengan coretan-coretan diri-diri yang lebih arif dengan perkembangan isu ini di laman-laman maya yang banyak merata. Cuma tepuk dada tanya hati, sama ada mahu mencari atau tidak. Contohnya DI SINI

video

Cuma pada kali ini, minda ini ingin berkongsi tentang sebab mengapa isu Palestin ini adalah isu yang amat penting untuk diri. Cuma minda ini terasa sentimen yang hadir dalam diri adalah sekadar kerana isu ini telah menjadi suatu isu dunia media massa kini. Pendek kata, minda ini kadang-kadang terasa isu pembantaian umat islam terutamanya di Gaza pada kali ini hanya disedari apabila diri-diri menyaksikannya sendiri bantahan -bantahan dan demo-demo menerusi media-media massa semasa.

Wahai diri yang mengaku diri sebagai muslim,
Adalah tidak salah apabila tindakan diri diambil kerana diri berasa kesian dengan kanak-kanak, orang tua, dan wanita yang tidak berdaya menjadi mangsa serangan. Juga adalah tidak menjadi kesalahan buat diri untuk berasa tidak puas hati apabila hak-hak asasi kemanusiaan di bumi Palestin telah dinafikan oleh rejim zionis Israel. Sudah menjadi fitrah insan ciptaan untuk memiliki persaan sedemikian.

Namun, minda ini berasa terpanggil untuk berkongsi dan menjelaskan apa yang berlegar-legar di dalam fikiran. Sekiranya tindakan kita hanyalah kerana seperti yang dinyatakan di atas, maka minda ini merasakan bahawa alasan ini belum cukup teguh lagi bagi diri yang mengaku berserah diri kepada Yang Memiliki Angkasa raya dan Bumi. Lantaran kerana, segala sebab-sebab di atas merupakan rasa yang timbul hasil fitrah insan yang diciptakan.

video

Wahai diri pembaca sekalian,
Isu Palestin sebenarnya adalah isu akidah umat islam. Isu ini sebenarnya adalah isu iman umat islam. Isu ini bukanlah isu seperti musim banjir pantai timur yang datang dan pergi pada masa tertentu. Selagi kalimah ALlah tidak tertegak di al-Quds, maka isu ini perlulah menjadi sebahagian daripada matlamat hidup diri. Tidakkah diri pernah mendengar peribadi Salehuddin al-Ayubi yang begitu serius dalam mempertahankan tanah suci ke-3 umat islam ini? Sehingga ada yang mengatakan beliau tidak sempat untuk menunaikan rukun islam ke-5 kerana sibuk mendapatkan semula dan mempertahankan kesucian tanah ini.

"Bagaimanakah aku masih boleh bergelak ketawa selagi tanah al-Quds berada dalam genggaman pemusuh islam?"

Pendek kata, minda ini ingin menegaskan bahawa isu Palestin perlulah berada di dalam setiap diri yang mengaku muslim/at dan beriman selagi mana pembebasan al-Aqsa tidak berlaku. Bukanlah sekadar apabila Gaza dibantai oleh rejim zionis Israel. Dalam tindakan diri, berbuatlah yang terbaik sekadar diri termampu kerana kesemuanya adalah dalam penilaian Yang Maha Menilai.

"Akan sentiasa ada di kalangan umatku yang berterusan memperjuangkan kebenaran, mereka bersikap keras pada musuh dan tidak dikalahkan oleh sesiapa yang menentang mereka." Lantas para sahabat bertanya, "Dimanakah mereka, wahai utusan ALlah?" Baginda menjawab, "Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis."
Hadis sahih riwayat Ahmad

Akhirul kalam, tegakkanlah kefahaman islam di dalam diri, semoga tegak hal-hal seterusnya akan berlaku di sekitar diri.

Wallahu'alam

Wednesday, December 17, 2008

Manusia Dan Unsur-unsurnya

Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya diberi peluang menikmati ramadhan. Setiap kali ramadhan, Allah mengurniakan pada saya suatu kurniaan yang mahal harganya. Allah curahkan buat hamba ini perasaan ingin merenung kembali hakikat hidup yang serba kompleks, serba celaru.

Hidup manusia yang semakin pantas disibukkan oleh urusan-urusan material membuatkan kita mengabaikan tanggungjawab pada ruh. Kita seakan-akan melupakan elemen kita yang satu itu. Sekadar peringatan buat semua, secara kasar manusia punyai 4 elemen yang membentuknya:

  1. Tubuh fizikal
  2. Ruh
  3. Akal
  4. Hati

Selama ini, hanya tubuh fizikal dan akal yang mendapat perhatian kita. Segala kudrat kita curahkan demi memastikan kedua-dua elemen ini sempurna perkembangannya. Tetapi, bagaimana pula dengan ruh dan hati? Sedangkan ruh dan hatilah yang memberi maksud kepada kehidupan manusia di dunia. Tanpa keduanya, manusia seolah-olah hidup tanpa tujuan, mati tiada penilaian. Maka terus-menerus manusia rakus mengejar apa yang ada di dunia kerna beranggapan bahawa hidup sekadar terbatas pada 60 - 70 tahun usia dan kemudiannya diakhiri noktah tanpa sambungan.

Sekiranya manusia gagal merenung akan perihal ini, saya bimbang semakin ramai yang akan menjauhi Tuhannya. Semakin ramai pula yang tertekan hidupnya. Maka tidak hairanlah, semakin tidak bahagia hayat ini jadinya. Hidup manusia hanya akan bahagia bila ia dijalani kena dengan tujuannya.

Secara umum, untuk yang muslim atau bukan sekalipun, hidup tanpa penghayatan ruhiyah boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam kekosongan yang berpanjangan. Mahatma Gandhi contohnya, pernah mengakui bahawa hampir-hampir sahaja beliau gila tatkala sibuk melengkapkan agenda memerdekakan India jika tiada agama yang menyokong unsur ruhiy miliknya.

Program Pengisian Rohani

Umat Islam, umat bertuah. Bukan sahaja menerima janji-janji Allah untuk kebahagian akhirat, malahan turut menerima kebahagiaan dunia. Islam sungguh mementingkan penyucian ruh sepertimana firman Allah dalam surah at-Taubah: 108

Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

Program pengisian rohani disusun dengan cantik oleh Allah. Program sedemikian mengambil tempat secara harian, mingguan dan tahunan.

Harian, umat Islam difardhukan solat 5 waktu bagi membolehkan jiwa-jiwa manusia dibersihkan setelah mengharungi hidup yang terkandung pelbagai kekotoran.

Mingguan pula, Allah menghadiahkan solat Jumaat buat kita. Di dalamnya terhimpun pelbagai amalan fardhu dan sunat. Sekiranya manusia ikhlas menghayati satu demi satu amalan tersebut, sudah pasti ruhnya semakin mendekati Tuhan.

Tahunan pula, Allah mengurniakan bulan Ramadhan yang penuh barakah. Segala kebaikan terkumpul di sini. Hadirnya bulan ini seumpama suatu peluang yang besar diberikan pada manusia. Secara ringkas, antara kebaikan yang telah Allah janjikan buat mereka yang ikhlas mengharungi Ramadhan ialah:

  1. Keampunan Allah untuk segala dosa yang lalu.
  2. Membebaskan manusia dari api neraka.
  3. Doa termakbul.
  4. Kurniaan berupa "surprise" yang dijanjikan Allah di akhirat kelak.
  5. Malam lailatul-Qadr
  6. Mendapat keredhaan Allah.

Saya pasti, anda biasa dengan kelebihan2 ramadhan yang telah saya senaraikan. Tetapi sejauh mana kita mengambil serius akan kewujudannya? Mereka yang tidak yakin akan janji Allah seumpama mereka yang sangsi dengan kekuasaan Allah. Inilah penyakit utama umat Islam alaf baru, iaitu bila akidahnya sudah tidak sesuci yang Allah inginkan. Mari menuju salimul 'aqidah (kesejahteraan akidah).....

Wallahua'lam

P/s: Ini kajian saya tentang kelebihan2 ramadhan...walupun bukan dalam bulan ramadhan tapi kita masih mampu berpuasa sunatkan....banyakknlh pahala pd cuti2 sekolh ini..semoga hidup kita sentiasa berpegang kepada agama..

Thursday, December 4, 2008

Kuasa Cinta

Cinta Manusia
Jiwa saya benar-benar tersentuh pada hari ini. Ketika melayari laman web, saya terjumpa satu website yang menceritakan perihal cinta seorang manusia kepada manusia lain. Ini first time saya menulis kisah cinta. Laman web itu menunjukan betapa manusia mampu melakukan perkara luar biasa hanya kerana Cinta. Sungguh hebat kuasa Cinta.Bagi mengakhiri segala kemusykilan anda, saya ingin mengajak kalian untuk menonton sebuah klip pendek yang akan menceritakan apa maksud saya yang sebenarnya.



Kisah ini hampir sahaja membuatkan saya menangis. Dan saya pasti tidak salah seandainya saya biarkan sahaja air mata ini bercucuran. Saya benar-benar rasa kerdil di hadapan Allah kali ini. Benar-benar rasa betapa kecil cinta saya kepadaNya jika hendak dibandingkan cinta si bapa kepada anaknya dalam video tadi. Dalam suatu temu ramah, Rick Hoyts (si anak) sangat menghargai pengorbanan bapanya itu sehingga tidak tahu bagaimana harus dibalas segalanya. Katanya, "apa yang saya mahu lakukan untuk membalas kasih murni ayah ialah dengan menolak ayah pula di atas kerusi roda yang saya duduki ini".

Saya dan Islam Bagaimana?

Saya masih belum bergelar bapa. Namun, saya benar-benar merasakan apa yang telah ditunjukkan oleh Dick Hoyts boleh menjadi teladan buat kawan-kawan yang sudah, akan dan bakal bergelar bapa. Apa yang lebih releven dengan hidup saya buat masa ini ialah apakah cinta saya pada Islam sedalam cinta Dick dan Rick Hoyts?

Sanggupkah saya mengorbankan segalanya demi Allah dan Islam? Sanggupkah lautan saya renangi? Sanggupkah jalan-jalan berliku saya tempuhi? Sanggupkah segala cemuhan saya endahkan? Sanggupkah bukit dan gunung saya daki? Sanggupkah rehat saya korbankan, masa saya belanjakan dan tenaga saya habiskan demi Islam? Semua itu tampak terlalu jauh kerana tabiat tidur selepas subuh pun masih sukar dibuang.

Azam Saya

Allah berfirman di dalam surah ali Imran ayat 31;

31. Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Mengamalkan islam sebenar itu adalah bukti hakiki pengorbanan seorang muslim yang benar-benar cintakan Allah dan agamanya. Itu telah menjadi bukti buat Rasulullah dan para sahabat yang bukan sahaja meredahi panas debu padang pasir, malah mempertaruh nyawa hanya kerana cinta mereka pada Allah dan Rasul. Tiada yang lain.

Saya dan anda bagaimana? Masih tidak terlewat untuk kita mengembalikan cinta Allah yang telah sekian lama kita rasakan. Allah tidak pinta kita bina untukNya gunung-gunung yang hebat. Allah tidak pinta kita persembahkan padaNya harta berkoyan. Allah tidak pinta kita menjaga makan dan minumNya malahan Allah pula yang tidak pernah alpa menjaga makan dan minum kita.

Apa yang kita harus lakukan sangat mudah. Kita hanya perlu kembali kepada Islam yang sebenar. Itu sahaja. Islam sepertimana Rasulullah dan para sahabat memahaminya. Islam yang di dalamnya memerlukan anda mengorbankan harta, masa, tenaga malahan nyawa. Seandainya Dick Hoyts sanggup meredah laut bergelora, jalan berbukit dan berliku serta berpanas dan berhujan hanya kerana mahukan anaknya terus bahagia, kenapa tidak kita melakukan itu semua demi Pencipta yang sudah sekian lama cintakan saya dan anda semua?


P/s: Kpada rakan-rakan yg dikasihi ALLAH sekalian dan terutamanya rakan-rakan saya yg brada di kelas 3krk 2008...renung-renungkanlh entry sya ini...adakah sudah cukup cinta kita kpada ALLAH??

Tepuklah dada, tanyalah iman.
Ke arah membina generasi pemuda muslim alaf baru....

Wednesday, December 3, 2008

Hebatkah Manusia Revisited

Hebatkah Manusia Revisited...

Assalamualaikum..


Sahabat sekalian, sebagai salah seorang dari ribuan juta manusia yang masih diberi kesempatan menghirup udara segar pemberian Yang Maha Pengasih ini, membuat saya rasa terpanggil untuk menyambung hasil tulisan mengenai seni ciptaan manusia.Kehidupan manusia ini mudah hanya kerana dimudahkan oleh Penciptanya. Sistem tubuh manusia yang sungguh kompleks ini, tidak salah jika saya katakan, mustahil ada seorang manusia pun yang mampu mengawalnya dengan sempurna menggunakan akal mereka yang sedar. Oleh itu, maka layakkah manusia berasa bongkak sekiranya mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka tidak dapat menguasai sepenuhnya walaupun tubuh mereka sendiri. Wallahua'lam.

Jika sebelum ini, saya banyak menyentuh mengenai apa yang ada dalam tubuh manusia, kali ini, dengan izinNya saya akan menceritakan barang sedikit berkenaan bagaimana tubuh kita berinteraksi dengan alam sekeliling.

Sahabat sekalian, orang kata, untuk mempelajari suatu ilmu dengan lebih berkesan, tidak cukup dengan sekadar kita membaca sahaja. Pembacaan jika disusuli dengan amalan atau perbuatan, akan membuahkan suatu dapatan yang lebih berkesan. Untuk itu, saya ingin mengajak kalian bersama-sama saya berhenti seketika daripada melakukan apa sahaja yang kalian sedang lakukan. Tarik nafas dalam-dalam, dan cuba hargai setiap sedutan udara yang anda ambil itu. Lontarkan pula pandangan anda pada tubuh yang diselaputi kulit. Betapa cantik ciptaan kulit itu yang bertujuan bukan sekadar menutupi organ2 yang sungguh kompleks di dalamnya, malahan mengandungi jutaan reseptor dan bulu roma yang punyai tugas masing-masing. Dongakkan pula pandangan, buka tirai kamar, dan hayatilah pemandangan di luar sana. Apakah setiap perkara yang wujud di sekeliling kita itu, tiada gunanya? Atau sebenarnya, setiap zarah...(ya, saya maksudkan zarah yang kecil tu...) wujud di alam sekeliling ini semata-mata untuk berbakti kepada manusia?
Ingin saya bawa anda, sama-sama menyingkap dengan penuh penghayatan suatu kalimah yang diturunkan oleh Allah, dalam kitabNya; surah al-Baqarah:30

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."

Seterusnya, firman Allah dalam surah an-Naml:62

"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi"

Berdasarkan pada 2 kalimah di atas, saya pasti kini, atau mungkin lama sebelum ini kalian pembaca sedar akan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Menjadi khalifah bermakna menjadi ketua atau pemimpin di muka bumi. Menjadi khalifah tidak semestinya anda perlu menjadi seorang yang mampu menguasai segala-galanya. Berdasarkan pembacaan saya yang tidak seberapa, khalifah juga bermaksud seseorang yang memakmurkan sesuatu. Maka ini lebih tepat dan bersesuaian dengan kita semua yang sudah semestinya dalam pelbagai sudut dan segi, mampu menyumbangkan sesuatu untuk kemakmuran dunia. Namun, entry kali ini tidak bermaksud menyentuh mengenai peranan atau methodologi ke arah memakmurkan dunia. Saya lebih suka untuk membawa diri saya dan kalian pembaca sekalian menumpukan fikiran kita ke arah mengenali kejadian jasad dan roh yang mengalir subur di dalamnya.

Kembali kepada firman Yang Maha Pengasih dalam surah an-Naml di atas, membawa suatu peringatan yang sungguh penting untuk kita sama-sama hayati. Sepertimana yang telah dibincangkan, sesungguhnya kemudahan yang kita kecapi dalam kehidupan hanya diperolehi atas rahmatNya yang mahu memudahkan kehidupan kita. Janganlah kita menyempitkan definisi "menghilangkan kesusahan" dalam ayat di atas hanya pada situasi kita dihindarkan daripada musibah. Renungkanlah, setiap saat pada kehidupan kita ini sebenarnya telah dimudahkan olehNya. Sesungguhnya, saya benar-benar tidak mampu memberikan gambaran yang terbaik berkenaan bagaimana pemurahnya Tuhan yang menciptakan ini.

Sahabat sekalian, alam atau suasana di mana kita hidup kini telah diciptakan khas buat saya dan anda semua. Kajilah pada setiap sudut kejadian di dunia ini, pasti anda akan mendapati bahawasanya kita diletakkan dalam dunia yang mempunyai suhu, kandungan udara, tekanan, air, cahaya dan lain-lain sumber yang sangat sesuai untuk manusia serta makhluk dunia lain yang sama-sama hidup di dalamnya.

Jika sebentar tadi anda telah menghayati hirupan udara dengan penuh syukur, apakah anda sedar bahawa sebenarnya kita hidup dalam lautan udara? Namun lautan ini tidak melemaskan malahan tanpanya, kita akan lemas. Rasanya, kalian tidak memerlukan pada fakta dari mana-mana sumber untuk menyedari yang manusia tidak mampu hidup walau untuk beberapa minit tanpa udara ini. Itulah hakikatnya. Tapi, kita sering terlupa akan besarnya nikmat ini, kerana sering taking it for granted. Cuba tutup hidung dan mulut anda untuk beberapa minit, dan saya pasti dengan cara ini, kita dapat meletakkan nilai kelebihan udara itu pada tempat yang lebih tinggi.

Udara yang padanya terdapat komposisi pelbagai jenis gas berlainan ini punyai banyak lagi tujuan lain ia diciptakan. Antara lain, lautan udara ini memberikan tekanan pada tubuh kita untuk tujuan keseimbangan. Keseimbangan di sini bermaksud imbangan tekanan cecair dalam badan. Anda semua pasti pernah pada suatu ketika mempelajari subjek sains yang menghuraikan bagaimana keadaan cecair berubah apabila tekanan udara berubah. Tekanan yang turun atau naik, boleh mengubah suhu dan isipadu cecair yang padanya dikenakan perubahan tekanan tersebut. Tekanan yang tidak sesuai pada tubuh boleh menyebabkan saluran darah yang terdapat di segenap tubuh anda pecah terburai....

Melontarkan pandangan di luar sana, pasti anda sedar akan langit yang diciptakan berlapis-lapis. Setiap lapisan memainkan peranan masing-masing dalam membantu manusia hidup di dunia ini. Pada setiap lapisan, kelajuan udara yang bergerak di dalamnya juga berlainan. Pergerakan udara di mana kita berada di dalamnya ini amatlah tenang. Berada sedikit di atas, kelajuan udaranya jauh lebih deras berbanding pada permukaan bumi. Seandainya lapisan ini tidak disusun sekemasnya, anda sendiri boleh membayangkan bagaimana kucar-kacir keadaannya. Berdasarkan fakta-fakta sahih, udara yang bertiup 5 batu di atas paras laut boleh mencapai kelajuan 200 batu sejam. Ribut, angin taufan, typhoon dan sebagainya yang diklasifikasikan manusia sebagai bencana alam yang dahsyat pada hakikatnya hanya mencapai kelajuan 75 batu sejam. Sahabat pembaca sekalian, tiada manusia atau apa jenis kehidupan sekalipun yang mampu hidup apabila ditiup oleh udara selaju 200 batu sejam itu walaupun untuk satu tempoh yang singkat.


Sedikit peringatan ini semoga dapat menyedarkan kita, betapa lemahnya manusia. Setiap saat pada kehidupan ini perlu kita syukuri dan gunakan sebaiknya. Terlalu banyak kelebihan yang telah diberikan kepada kita, dengan tujuan kita dapat hidup di atas muka bumi ini, dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai hamba kepada Yang Maha Pencipta.

Keadaan kita ini tidak ubah seperti seorang pekerja dengan majikannya. Bagi membolehkan seorang pekerja melaksanakan tugasan dengan baik, majikan akan menyediakan pekerjanya itu dengan pelbagai kemudahan. Gaji yang lumayan, kereta, insurans, perlindungan kesihatan, bonus dan sebagainya. Dengan tersedianya semua kemudahan tadi, sudah tentu majikan mahukan pekerjanya mencapai yang terbaik. Pekerja yang baik, sudah pasti akan menyumbangkan segala keringat, kemahiran dan kebijaksanaan yang ada bagi memenuhi prestasi kerja yang telah ditetapkan oleh majikannya. Majikan pula sudah pasti bertambah sayangnya pada majikan ini dan terus mengurniakannya dengan bermacam lagi kemudahan.

Sekarang, bayangkan pula seorang pekerja lain yang malas, sombong, kurang bijak dan berlagak lebih besar daripada majikannya sendiri. Kerja-kerja yang diberi tidak pernah diselesaikan, sering pula melakukan perkara yang tidak disukai oleh majikannya, namun masih menggunakan dan mahukan lebih banyak daripada segala insentif yang sudahpun dikecapi. Lebih teruk lagi, pekerja ini tidak mengiktiraf pula majikan ini. Malangnya si majikan, sering diumpat, difitnah dan dihina pula. Jika anda menjadi majikan kepada pekerja ini, apa agaknya yang akan anda lakukan padanya?

Fikirkanlah sahabat sekalian. Fenomena rekaan tadi hanya berhubung seorang pekerja dan majikannya. Apa sangatlah nilai kelebihan yang diberikan oleh majikan itu jika hendak dibandingkan apa yang telah dikurniakan Pencipta setiap diri kita ini. Namun, masihkah kita mahu berasa bongkak dan tidak mahu melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya? Setiap kelebihan itu, datang hanyalah daripadaNya. Mulakanlah hidup kita selepas ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri. Bagi mengakhiri tulisan kali ini, saya sisipkan suatu video yang cukup memberi makna pada diri ini. Semoga ia turut memberi manfaat pada anda semua...




p/s: saya mengalu-alukan anda berkongsi semua hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini kepada sahabat-sahabat lain seandainya anda mendapati ia baik untuk semua. Saya hanyalah manusia kerdil yang masih merangkak namun berkeinginan menyambung perjuangan mereka yang terdahulu...email saya jika ade ape-ape yg ingin diberitahu studentking_08@yahoo.com.my

Manusia yang "HEBAT"

Assalamualaikum. Alhamdulillah, dengan berkat keizinanNya, dapat saya curahkan sekali lagi apa yang tersirat jauh di dalam hati ini kepada khalayak pembaca sekalian.Pada entry kali ini,saya ingin membawa anda bersama-sama menyelami ke dalam diri kita yang kerdil ini.Dalam membentuk diri yang mempunyai peribadi tinggi, kita perlu terlebih dahulu kenal dengan diri sendiri. Tahu apakah bidang kuasa kita terhadap diri kita sendiri.



Apakah anda benar-benar mengenali diri anda? Sejauh mana anda mengetahui selok-belok diri anda? Apakah kita benar-benar mengawal segala sistem dalam badan kita sehingga kita dapat menjalani kehidupan sepertimana yang kita jalani kini? Sebenarnya, pernahkah anda fikirkan semua soalan yang saya persoalkan tadi???


Menjadi manusia itu sendiri merupakan suatu nikmat yang tidak ternilai harganya. Tidak perlu saya perjelaskan bagaimana proses kejadian manusia kerana saya pasti ada antara khalayak pembaca yang jauh lebih arif daripada saya sendiri. Maklumlah, saya hanya menuntut pelajaran berkaitan kejuruteraan mekanikal. Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah hakikat yang sering kita lupakan sebagai seorang manusia, secara sedar atau pun tidak...







Gambar yang tertera di atas adalah rajah yang sangat ringkas berkenaan anatomi manusia. Anda semua pastinya sedar bahawasanya kita adalah suatu makhluk yang sangat kompleks. Itulah sebabnya ramai manusia yang rasa bongkak dengan diri mereka sendiri menyedari hakikat bahawa mereka berpotensi untuk melakukan pelbagai perkara. Lebih melampau bila ada antara manusia yang mahu menindas dan manguasai manusia lain hanya atas alasan mereka lebih istimewa berbanding orang lain.



Masalah yang saya sebut di atas banyak berlaku pada era pemerintahan Adolf Hitler yang mengagung-agungkan idea nazisme nya. Bahkan, Inggeris yang menganjurkan program lawatan sambil menjajah ke negara kita tidak lama dahulu turut memakai idea yang sama, iaitu atas kelebihan yang mereka ada, mereka perlu menguasai manusia lain. Namun, itu bukanlah isi asal entry pada kali ini. Pada kali ini, saya ingin membawa anda sama-sama menyedari hakikat "LEMAHNYA" kita sebagai manusia ini.



Sahabat sekalian, potensi manusia sememangnya besar. Sudah ada manusia yang sampai ke bulan. Ada pula yang berjaya menghantar alat pemantau ke planet lain. Di sebalik segala kehebatan yang kita nampak dengan mata kasar ini, manusia sebenarnya sangat lemah hinggakan apa yang berada di dalam tubuh sendiri pun tidak mampu manusia mengawalnya.


Apabila kita bernafas, mampukah kita sendiri mengarahkan pergerakan udara itu ke dalam paru-paru? Adakah kita sendiri yang menentukan pergerakan setiap injap dan pam yang ada di dalam jantung supaya memenuhi keperluan oksigen tubuh kita dalam keadaan yang berbeza-beza? Jantung kita yang bergerak tanpa henti, 24/7 ini, akan mampukah kita kawalkan ketika sedang tidur lena di tengah malam?




Apabila kita makan, mampukah kita sendiri mengarahkan tubuh kita untuk menukarkan makanan yang dimakan kepada zat-zat yang kita perlukan? Atau paling kurang pun, mampukah kita mengarahkan makanan yang kita makan ke perut? Kita sendirikah yang mengawal jumlah pengeluaran segala macam rembesan bagi membolehkan pencernaan makanan berlaku?







Apabila kita mendengar, adakah kita berkuasa mengubah frekuensi bunyi yang diterima oleh telinga? Sekiranya kita tidak berjaya mendengar, mampukah kita meningkatkan sensitiviti tulang tukul, rakap dan andas supaya kita mendengar? Pernahkah kita mengambil berat ketika menyeimbangkan kedudukan tubuh kita, bagaimana percaturan yang dibuat oleh apparatus vestibular dan rakan-rakan organ lain?







Apabila kita melihat, sejauh mana sebenarnya kita sendiri berupaya mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata menerusi lapisan kornea itu? Apakah kita mampu mengawal kemasukan cahaya dan bagaimana mata berfungsi dalam membentuk objek 3-dimensi? Mampukah kita sendiri menentukan bila kita perlu melihat sesuatu dalam 3-dimensi atau 2-dimensi?







Sahabat sekalian, persoalan-persoalan yang saya kemukakan tadi hanyalah sebahagian kecil daripada hakikat kompleksnya sistem tubuh manusia ini. Saya bukan mahu anda mencari jawapan bagaimana setiap proses berlaku. Saya hanya berniat memimpin kalian bersama-sama dengan saya menyedari bahawa kita hanyalah insan yang lemah.



Tubuh kita dicipta olehNya dalam keadaan semua organ mampu bekerja secara automatik dan mampu pula berinteraksi dengan baik sesama "mereka". Cubalah anda bayangkan mata yang tidak mahu bekerjasama dengan otak. Anda mungkin dapat melihat tetapi tidak dapat menilai sesuatu situasi. Bayangkan pula telinga yang tidak mahu berinteraksi dengan mulut. Anda mungkin boleh mendengar, namun ucap balas anda mungkin tiada kaitan dengan apa yang anda baru sahaja perdengarkan. Bayangkan pula kaki yang tidak mahu bekerjasama dengan anggota tubuh yang lain. Tak tahulah ke mana agaknya tubuh ini akan diarahkan. Segala interaksi ini dilakukan melalui akal manusia yang sangat sempurna ciptaanNya. Tetapi segala interaksi yang saya sebutkan tadi adalah interaksi yang kita lakukan melalui akal yang sedar. Percaya atau tidak, terdapat ribuan lagi interaksi yang berlaku sesama anggota tubuh yang dilakukan tanpa kita sendiri menyedarinya. Sebagai contoh, interaksi paru-paru dan jantung, perut dan sistem usus, telinga dan mulut, tangan dan saluran darah, dan banyak lagi.



Sahabat sekalian, andaikan kita terpaksa mengawal semua organ melalui akal yang sedar ini, agaknya mampukah kita hidup sepertimana hari ini? Setiap hari kita dibebani masalah pelajaran, projek yang tidak pernah putus-putus, assignment yang bersusun, masalah nasi tidak cukup di rumah,masalah isteri yang dimarahi di pejabat (khas buat seorang sahabat..hehehe), masalah dengan cleaner dan macam-macam lagi. Itu semua sebenarnya perkara-perkara yang sangat mudah untuk diselesaikan oleh akal anda. Namun, kita masih terus merungut dengan kehidupan yang kita hadapi sekarang. Kononnya apa yang kita ada masih lagi tidak cukup untuk disyukuri.



Sahabat sekalian, mudahnya kehidupan kita pada hari ini hanya kerana dipermudahkan oleh Pencipta. Tetapi, kita semua perlu ingat bahawa setiap kelebihan yang dikurniakan ini, perlu dibayar dengan suatu harga. Harga di mana ramai manusia cuba mencari apakah nilainya? Bagaimana perlu ia dibayar? Kebanyakan manusia kini gagal menemui jawapannya. Lebih ramai lagi yang langsung tidak mempedulikan apakah setiap kelebihan yang dikecapi itu ada harganya. Bagaimana pula dengan anda? Malanglah kita sekiranya kita adalah mereka yang langsung tidak peduli apakah nilainya kelebihan ini. Paling kurang, jadilah kita mereka yang cuba mencari jalan bagaimana membayar harga setiap kelebihan. Tidak saya nafikan, jawapannya bukanlah semudah ABC.......



Ke arah menjana pemikiran belia kritis dan pelaksanaan berkesan.



p/s: maafkan segala kesilapan penggunaan istilah di dalam entry kali ini. saya minta anda rujuk sumber yang lebih sahih untuk maklumat yang lebih tepat.