Jiwa saya benar-benar tersentuh pada hari ini. Ketika melayari laman web, saya terjumpa satu website yang menceritakan perihal cinta seorang manusia kepada manusia lain. Ini first time saya menulis kisah cinta. Laman web itu menunjukan betapa manusia mampu melakukan perkara luar biasa hanya kerana Cinta. Sungguh hebat kuasa Cinta.Bagi mengakhiri segala kemusykilan anda, saya ingin mengajak kalian untuk menonton sebuah klip pendek yang akan menceritakan apa maksud saya yang sebenarnya.
Kisah ini hampir sahaja membuatkan saya menangis. Dan saya pasti tidak salah seandainya saya biarkan sahaja air mata ini bercucuran. Saya benar-benar rasa kerdil di hadapan Allah kali ini. Benar-benar rasa betapa kecil cinta saya kepadaNya jika hendak dibandingkan cinta si bapa kepada anaknya dalam video tadi. Dalam suatu temu ramah, Rick Hoyts (si anak) sangat menghargai pengorbanan bapanya itu sehingga tidak tahu bagaimana harus dibalas segalanya. Katanya, "apa yang saya mahu lakukan untuk membalas kasih murni ayah ialah dengan menolak ayah pula di atas kerusi roda yang saya duduki ini".
Saya dan Islam Bagaimana?
Saya masih belum bergelar bapa. Namun, saya benar-benar merasakan apa yang telah ditunjukkan oleh Dick Hoyts boleh menjadi teladan buat kawan-kawan yang sudah, akan dan bakal bergelar bapa. Apa yang lebih releven dengan hidup saya buat masa ini ialah apakah cinta saya pada Islam sedalam cinta Dick dan Rick Hoyts?
Sanggupkah saya mengorbankan segalanya demi Allah dan Islam? Sanggupkah lautan saya renangi? Sanggupkah jalan-jalan berliku saya tempuhi? Sanggupkah segala cemuhan saya endahkan? Sanggupkah bukit dan gunung saya daki? Sanggupkah rehat saya korbankan, masa saya belanjakan dan tenaga saya habiskan demi Islam? Semua itu tampak terlalu jauh kerana tabiat tidur selepas subuh pun masih sukar dibuang.
Azam Saya
Allah berfirman di dalam surah ali Imran ayat 31;
31. Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Mengamalkan islam sebenar itu adalah bukti hakiki pengorbanan seorang muslim yang benar-benar cintakan Allah dan agamanya. Itu telah menjadi bukti buat Rasulullah dan para sahabat yang bukan sahaja meredahi panas debu padang pasir, malah mempertaruh nyawa hanya kerana cinta mereka pada Allah dan Rasul. Tiada yang lain.
Saya dan anda bagaimana? Masih tidak terlewat untuk kita mengembalikan cinta Allah yang telah sekian lama kita rasakan. Allah tidak pinta kita bina untukNya gunung-gunung yang hebat. Allah tidak pinta kita persembahkan padaNya harta berkoyan. Allah tidak pinta kita menjaga makan dan minumNya malahan Allah pula yang tidak pernah alpa menjaga makan dan minum kita.
Apa yang kita harus lakukan sangat mudah. Kita hanya perlu kembali kepada Islam yang sebenar. Itu sahaja. Islam sepertimana Rasulullah dan para sahabat memahaminya. Islam yang di dalamnya memerlukan anda mengorbankan harta, masa, tenaga malahan nyawa. Seandainya Dick Hoyts sanggup meredah laut bergelora, jalan berbukit dan berliku serta berpanas dan berhujan hanya kerana mahukan anaknya terus bahagia, kenapa tidak kita melakukan itu semua demi Pencipta yang sudah sekian lama cintakan saya dan anda semua?
P/s: Kpada rakan-rakan yg dikasihi ALLAH sekalian dan terutamanya rakan-rakan saya yg brada di kelas 3krk 2008...renung-renungkanlh entry sya ini...adakah sudah cukup cinta kita kpada ALLAH??
Tepuklah dada, tanyalah iman.
Ke arah membina generasi pemuda muslim alaf baru....

No comments:
Post a Comment